Sharing is Caring

Siapakah anak yatim yang paling malang?

Saya merasa amat bersyukur kerana dapat bertemu, berkenalan dan kemudiannya berguru dengan seorang tokoh pejuang Palestin yang begitu komited mendambakan dirinya untuk mengembalikan kemuliaan al-Aqsa yang telah ternoda buat sekian lamanya.

Saya mula mengenali Sheikh Saud Abu Mahfudz atau nama mesranya Abu Habib ketika kami dijemput untuk memberikan pidato mengenai Masjid al-Aqsa dan Palestin di satu majlis amal yang telah diadakan di Petaling Jaya pada tahun 2005. Selepas pertemuan sulung tersebut, saya berkesempatan menghadiri beberapa sesi seminar, bengkel dan ceramah yang dikendalikan oleh beliau samada di Malaysia mahupun di luar negara.

Pada bulan April 2010 yang lalu, saya melawat beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan, Akbar As Sabeel yang berpusat di Amman, Jordan. Teringat saya satu peristiwa di mana beliau sempat menguji saya dengan beberapa persoalan.

SSAM : Wahai saudaraku, siapakah anak yatim yang paling malang?

Dr Z : Anak yatim yang kehilangan kedua-dua ayah dan ibunya?

SSAM : Kebiasaanya, anak yatim ini masih lagi mendapat bantuan zakat atau badan amal yang akan menjaga kebajikan mereka.

Dr Z : Anak yatim Palestin di Gaza atau di kem-kem pelarian.

SSAM : Hidup mereka juga susah namun mereka juga boleh mendapat bantuan dari badan amal atau NGO kemanusiaan.

Dr Z : Siapa dia anak yatim tersebut ya Sheikh? (tanya saya setelah putus asa untuk mencuba lagi)

SSAM : Nama anak yatim tersebut ialah Masjid al-Aqsa. Al Aqsa adalah anak yatim yang malang kerana dia tidak mempunyai ibu-bapa dan penjaga yang menjaga hal ehwalnya, kemuliaannya dan masa depannya yang tidak menentu. Daripada anak yatim yang begitu ramai, Al-Aqsa adalah anak yatim yang paling perlu dibantu….

Subhanallah, tergamam saya mendengarnya. Memang benar bahawa jawapan Sheikh Saud amat membekas di hati saya betapa al Aqsa memerlukan pembelaan yang serius daripada umat islam.

Kenapa al Aqsa istimewa kepada kita?

1-Masjid al-Aqsa adalah kiblat yang pertama bagi umat Islam. Rasulullah saw bersama para sahabat telah berkiblatkan Masjid al-Aqsa semenjak solat diwajibkan di malam Isra’ dan Mi’raj, tahun ke 10 selepas nabi Muhammad saw diangkat sebagai Rasul atau 3 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mereka terus menghadap ke Baitul Maqdis sehinggalah setahun dan 6 bulan setelah mereka berhijrah ke Madinah, apabila turun ayat al-Quran yang memerintahkan mereka untuk menghadap ke Masjid al-Haram di Mekah, sebagaimana diabadikan dalam firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan dari mana sahaja kamu (Muhammad) berangkat, maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya” (Al-Baqarah – 150)

2- Masjid al-Asa di Baitul Maqdis adalah merupakan destinasi terakhir perjalanan Isra’ Rasulullah saw di bumi dan permulaan perjalanan Mi’raj Baginda ke langit. Sebagaimana maksud firman Allah swt,

“Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al Masjid al-Haram ke Al Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (Al-Isra:1)

3-Masjid al-Aqsa adalah masjid yang ke-3 suci di dalam aqidah umat, yang dimuliakan Allah dengan kawasan yang diberkati sekelilingnya.

Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: ” Janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali untuk menuju ke tiga masjid: Masjid al-Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa”.

Dari Abu Darda menceritakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: ”Solat di Masjid al-Haram bersamaan dengan seratus ribu kali solat, solat di Masjidku bersamaan seribu kali solat dan solat di Masjid al-Aqsa bersamaan dengan lima ratus kali solat” Hadith riwayat at-Tabarani

Kenapa Al Aqsa dikatakan anak yatim yang malang?

Apa tidaknya, al Aqsa kini yatim tanpa ayah dan ibu, tanpa penjaga dan tanpa penguasa yang bersedia untuk bersusah-payah menjaga ehwalnya, memelihara kemuliaannya dan memastikan masa depannya yang baik. Sejak sekian lama, regim Zionis telah pun menodai kesuciannya dengan projek peng’Yahudi’annya di Masjid al-Aqsa dan hampir keseluruhan Baitul Maqdis.

Apakah projek-projek Pengyahudian al-Aqsa?

Masjid al-Aqsa mula jatuh ke tangan penjajah Zionis pada bulan Jun 1967 dengan tertawannya bahagian timur Baitul Maqdis. Mereka menyambut kejayaan mereka menawan Masjid al-Aqsa dan Baitul maqdis Timur dengan pesta maksiat di dalam masjid tersebut. Bermula dari peristiwa yang dikenali sebagai an-Naksah (malapetaka yang berulang) itu, Masjid al-Aqsa telah terus menerus dinodai kesuciannya.

Al Aqsa telah dibakar pada 21hb Ogos 1969 sehingga menyebabkan sebahagian besar Masjid al-Aqsa mengalami kerosakan dan musnah menjadi arang termasuklah Mimbar Solahuddin al-Ayyubi yang bersejarah yang telah dibina sejak zaman Nuruddin al-Zinki, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar daripada serambi masjid. Apabila dihitung dengan lebih teliti, kemusnahan tersebut melebihi sepertiga daripada keseluruhan kawasan masjid iaitu kira-kira 1500 meter persegi daripada 4400 meter persegi keluasan asal kawasan masjid. Turut musnah dalam kejadian tersebut adalah atap-atap masjid yang telah roboh menyembah bumi serta tiang-tiang yang indah dengan hiasan ayat-ayat al-Quran.

Acapkali berlaku peristiwa demi peristiwa di masjid yang diberkati ini dengan kejadian yang begitu menguji perasaan dan hati sanubari umat Islam. Juga kerapkali berlaku ketegangan politik di dunia Islam disebabkan Masjid al-Aqsa sentiasa diganggu-gugat kemuliaannya oleh golongan Yahudi radikal yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel.

Di antara senarai jenayah Zionis ke atas Masjid al-Aqsa ialah :-

1. Menghalang umat Islam dari menziarahi masjid ini.

2. Menghalang usaha membaik-pulih Masjid al-Aqsa yang rosak.

3. Perampasan Tembok Buraq yang merupakan sebahagian dari al-Aqsa.

4. Mengadakan upacara agama Yahudi di dalam al-Aqsa.

5. Siri Pengeboman secara terancang ke atas Masjid al-Aqsa.

6. Siri Pembunuhan umat Islam di Masjid al-Aqsa.

7. Penggalian terowong yang besar lagi panjang di bawah masjid ini sehingga mengakibatkan runtuhnya dinding masjid, retak lantai dan tiangnya serta kebocoran dasar danl antai Masjid al Aqsa.

8. Mengubah identiti masjid ini daripada identiti Islam dan Arab kepada identiti yahudi dan Zionis.

9. Pembinaan Synagog Yahudi (Synagog Hover) bersebelahan dengan Masjid al Aqsa.

Sudah terlalu banyak kes jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap Masjid al-Aqsa yang merupakan jantung hati umat Islam.

Kesimpulannya, Masjid al-Aqsa adalah anak yatim yang paling malang kerana tiada ibu-bapa, penjaga dan pemimpin umat Islam yang prihatin terhadap hal ehwalnya, kemuliaan dan masa depannya yang semakin terancam dek projek peng’Yahudi’annya oleh regim Yahudi Zionis yang mendapat sokongan Barat.

Sebagai qiblat yang pertama bagi umat Islam, masjid yang ke tiga suci serta bumi Isra’ dan Mi’raj, Masjid al-Aqsa mesti diselamatkan dari kemusnahan dan kehancuran oleh tangan-tangan pengganas rejim Zionis dan pelampau Yahudi.

Apakah tindakal praktikal bagi menyelamatkan al-Aqsa?

Sebenarnya banyak perkara yang praktikal yang boleh kita sumbangkan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah:

1. Bermula dengan diri kita, kenali sejarah Palestin dan kepentingan Masjid al-Aqsa dalam aqidah umat Islam.

2. Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin.

3.Tanam dan sebarkan kesedaran tentang status sebenar Masjid al-Aqsa kepada masyarakat dengan apa jua cara.

4. Anjurkan program yang berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ataupun pada Hari al-Aqsa seDunia pada 21hb Ogos nanti di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain.

5. Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid al-Aqsa.

6. Memahamkan isu ini kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita dan mengajak mereka untuk turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa.

7. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.

8. Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.

9. Melonjakkan isu ini ke persada nasional dan antarabangsa kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.

10. Berdoa kepada Allah swt agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpeilhara.
Kita harus bertindak segera secara sistematik dan berterusan demi masa depan Masjid al-Aqsa. Kita mesti melakukan tindakan secara pro-aktif sebelum rejim Zionis dan golongan yang bersekongkol dengannya berjaya di dalam melaksanakan cita-cita jahat mereka.

Jom sahabatku. Selamatkan al-Aqsa !

Salam perjuangan

Dr Z

Penghargaan kepada Sheikh Saud Abu Mahfudz di atas segala tunjuk ajar beliau selama ini. Semoga diganjari Allah dengan nilaian mizan yang lebih berat dan diterima di Akhirat kelak.

Daripada http://www.zainurrashid.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s